Kenangan di UTeM (2005-2009)
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua warga UTeM yang dikasihi.

Membuka lembaran album kenangan hampir dua dekad yang lalu, kita kembali ke tahun 2005 di mana saya menjejakkan kaki buat pertama kali di bumi UTeM – ketika itu masih dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM).
Masa itu, saya sebagai seorang ‘freshie’ yang penuh semangat dan azam. Saya mengisi hari-hari dengan menyertai hampir setiap program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti. Boleh kata ada saja aktiviti, terutamanya yang melibatkan makan-makan dan jalan-jalan, muka saya pasti ada di sana. Percayalah, saya begitu ‘active’ sehingga pernah tiga kali menyertai program berlainan di tempat sama di Pulau Pangkor! Kalau tak silap, sekali untuk kursus keusahawanan, sekali kepimpinan, dan sekali lagi kursus yang sampai hari ini saya pun dah lupa tajuknya. Pendek kata, kalau ada aktiviti, saya memang “on”.
Sampai ke satu tahap, seorang saudara pernah bertanya kepada emak, “Naqib cuti semester ni balik rumah tak?” Dengan tenang emak menjawab, “Dia cuti semester pun, balik rumah tak sampai tiga hari.” Padahal setiap semester tu ada cuti panjang! Bila emak cerita pada saya, barulah saya perasan yang cuti saya banyak dihabiskan untuk ikut aktiviti daripada balik rumah. Nak tunjukkan betapa dedikasinya saya dengan program universiti!
Jujur katakan, zaman universiti ini saya agak terlampau berpersatuan. Saya akui, saya banyak “main” di universiti hingga mengabaikan pelajaran. Sebagai ahli MPP (Majlis Perwakilan Pelajar), saya sering menggunakan alasan ‘mesyuarat penting’ untuk ponteng kelas. Akibatnya? Pointer akademik saya menjunam seperti harga saham semasa krisis ekonomi! Jadi, pesanan ikhlas saya kepada adik-adik yang masih belajar di universiti – jangan ulang kesilapan ini! Datang ke universiti, belajar itu tugas utama. Aktiviti lain adalah sampingan yang sepatutnya menyokong, bukan menggantikan. Aktiviti lain adalah penting untuk membentuk sahsiah, tapi jangan jadikan ia alasan untuk mengabaikan pelajaran. Percayalah, anda tidak mahu menyesal kemudian hari.
UTeM juga merupakan tempat saya mula mengenal dunia debat. Dari seorang yang langsung tidak tahu apa-apa pasal debat, akhirnya berjaya ‘mengalahkan’ senior dalam satu pertandingan debat (walaupun pada hakikatnya saya rasa mungkin para hakim ada ‘isu peribadi’ dengan senior tersebut; jadi kemenangan saya lebih kepada rezeki daripada prestasi). Yang lebih mengagumkan, orang yang mengajar saya debat pada masa itu, kini sudah menjadi pembaca berita utama di kaca TV.
Dan ya, universiti juga medan untuk saya belajar ‘subjek’ paling mencabar: Cinta. Kali pertama jatuh cinta pada seorang gadis dari Selatan tanah air tapi tak kesampaian. Saya juga ada ‘girlfriend’ buat pertama kali masa di UTeM – dan untuk rekod, dia yang approach dulu! Dia sanggup ikut saya balik kampung, namun kisah kami jua tak kesampaian. Tapi seperti kata orang putih, “When one door closes, another opens.” Alhamdulillah, sekarang saya dah bertemu jodoh yang jauh lebih baik. Jadi, kepada yang sedang patah hati, usah bersedih lama-lama. Dalam hidup ini, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Selepas tamat universiti, semua orang akan bergerak ikut “time zone” masing-masing. Ada yang kahwin awal, ada yang lewat, dan ada yang memilih untuk untuk ‘focus on career’. Ada yang menjelajah ke luar negara, ada yang jadi usahawan, ada juga yang pilih untuk sambung pengajian. Itulah lumrah hidup. Hidup berubah mengikut jalan masing-masing. Namun, yang paling indah, hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan dalam MPP masih kekal erat sehingga ke hari ini. Hampir 20 tahun kami berkawan! Kami bukan sekadar berhubung, malah kami pergi berkhemah bersama-sama dengan keluarga masing-masing, berborak di depan unggun api sehingga jam 1.00-2.00 pagi. Itulah ikatan yang dibina semasa di UTeM.
Bagi saya, zaman universiti adalah salah satu bab penting dan manis dalam kehidupan. Hadapilah ia dengan seimbang dan sebaik mungkin; belajar bersungguh-sungguh tapi jangan lupa untuk bergaul, berorganisasi, dan membina jaringan. Peliharalah silaturahim, kerana ia adalah modal paling berharga selepas graduasi.
Akhir kata, UTeM yang kini mencecah 25 tahun telah memberi banyak kebaikan kepada ribuan pelajar. Jagalah nama baik universiti kita ini, kerana di situlah terletak sebahagian daripada sejarah hidup kita. Selamat ulang tahun ke-25 buat UTeM! Terima kasih atas segala memori, ilmu, dan peluang. Semoga UTeM terus melakar kejayaan, menjadi universiti teknikal unggul, dan melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja hebat di bidang akademik, tetapi juga hebat dalam kehidupan. Semoga UTeM terus melakar kecemerlangan dan menjadi kebanggaan kita semua. Kekallah di minda, di hati, UTeM forever!
Yang menjadi kenangan,
Batch 2005-2009 | Yang DiPertua MPP 2006/2007